<aside> 🗓️ 17 Mei 2021 / 5 Syawal 1442H

</aside>

Baru-baru ini terdapat pihak yang mempersoalkan tadbir urus dan akauntabiliti pengurusan dana institusi yang membuat kutipan dana awam terutama bagi sumbangan kepada rakyat Palestin.

Kebimbangan berlakunya ketirisan dan salah guna dana melalui mana-mana institusi adalah sesuatu yang berasas dan tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan isu amanah, integriti dan pematuhan undang-undang.

Persatuan Profesional Kewangan Muslim Malaysia (MFP) menggesa agar institusi yang terlibat dalam kutipan dana awam, sentiasa memastikan agar tadbir urus baik dilaksanakan melalui saranan berikut:

  1. Mendaftarkan institusi dengan pihak berwajib seperti Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau di bawah Jabatan Perdana Menteri.
  2. Melantik ahli lembaga pemegang amanah yang berkelayakan, mempunyai rekod prestasi yang baik dan tiada rekod salah laku.
  3. Sentiasa memastikan pematuhan akta yang berkaitan termasuk penghantaran laporan tahunan dan keperluan-keperluan lain menurut akta.
  4. Memastikan penyimpanan dan pengurusan dokumen yang kemas serta boleh diakses dengan mudah untuk tujuan audit atau semakan pihak berwajib.
  5. Memastikan Laporan Kewangan sentiasa dikemaskini dan dilaporkan mengikut piawaian pelaporan perakaunan yang diterima di Malaysia dan antarabangsa.
  6. Memastikan penyaluran dana dibuat terus kepada penerima yang layak atau melalui badan yang boleh dipercayai serta bertanggungjawab mengikut tujuan kutipan dibuat.
  7. Mempunyai perancangan dan polisi kewangan yang rapi bagi memastikan penggunaan sumber secara maksima dan sewajarnya.

Masyarakat juga disaran untuk mengambil langkah berikut bagi membasmi kegiatan mengutip wang secara haram dan salah laku dalam pengurusan kutipan dana awam

  1. Menyumbang kepada badan yang berdaftar dan telus dalam pengurusan dana.
  2. Meningkatkan herdikan sosial (social sanction) dalam memastikan badan yang membuat kutipan dana awam ini sentiasa melaksanakan tadbir urus baik.